TRAXXfm santuni anak-anak Kasih Sayang Angel
KLEBANG 16 Feb – TRAXXfm mengambil inisiatif meraikan 25 anak-anak yatim Pusat Jagaan Kasih Sayang Angel, Semabok menerusi program khidmat masyarakat stesen radio itu bagi tahun 2022.
Penolong Pengurus TRAXXfm, Niswani Ahwang berkata insiatif itu secara tidak langsung membudayakan sikap prihatin terhadap anak-anak Keluarga Malaysia yang kurang bernasib baik.
Katanya, stesen radio itu menerusi kerjasama Jabatan Penyiaran Negeri Melaka (RTM Melaka) memulakan program kebajikan bersama anak-anak yatim buat pertama kali pada tahun 2022 sejak negara mengalami pandemik COVID-19 pada tahun 2020.
“Hasrat kita adalah menyantuni semua lapisan masyarakat tidak kira peringkat umur sama ada kanak-kanak sehingga warga emas.
“Aktiviti kebajikan ini akan kita jadikan sebagai amalan dan tanggungjawab semua pihak,” katanya kepada media selepas Sambutan Tahun Baru Cina 2022 di Restoran Seafarer Explorer, malam tadi.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Seafarer Explorer, Mike Thein.
Terdahulu, Niswani turut menyampaikan sumbangan daripada Persatuan Sikhinside berjumlah RM1,000 kepada wakil pusat jagaan itu,
Niswani berkata pada masa sama program itu dapat memperkenalkan kepada generasi muda tentang kelebihan mendengar rangakaian radio yang ada di Malaysia.
“Seperti kita tahu generasi muda masa kini kebanyakan mereka tidak mendengar radio mereka hanya mendengar lagu-lagu mereka menerusi aplikasi online seperti Spotify, Youtube, streaming online dan lain-lain.
“Ini merupakan langkah yang mana TRAXXfm ambil untuk mendekati mereka dan memperkenalkan TRAXXfm yang mana kita sentiasa menyampaikan informasi berguna dan sahih kepada pendengar,” katanya lagi.
Pada program itu anak-anak yatim diraikan dengan beberapa persembahan daripada artis jemputan seperti DJ Jin Rong dari AIfm, artis tempatan Daniel Sher dan Kelvin Thein.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.