Transformasi Jasin ke arah Perbandaran Lestari, Berdaya Saing dan Inklusif – KM
JASIN 13 Oktober – Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) 2035 (Penggantian) mengenal pasti lapan prospek pembangunan di Jasin yang bakal membawa impak positif kepada rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata menerusi draf itu ia turut membawa masyarakat Jasin untuk bersama merancang pembangunan masa depan dalam tempoh ditetapkan.
Menurutnya, draf ini akan diwartakan sebagai dokumen rasmi Kerajaan Negeri Melaka serta dijadikan panduan dan rujukan MPJ dan jabatan atau agensi pelaksana berkaitan pelaksanaan pembangunan.
“Lapan prospek itu meliputi Jasin Daerah Lestari, Jasin Daerah Hasil Pertanian dan Penternakan – Sekuriti Makanan (Periuk Nasi Selatan), Jasin Daerah Eko Industri dan Berteknologi Tinggi, Jasin Daerah Industri Halal Hub Melaka dan banyak lagi.
“Prospek pembangunan yang dikenal pasti ini pasti menjadi intipati terhadap perancangan dan hala tuju pembangunan yang dirangka dalam Draf Rancangan Tempatan MPJ ini.
“Justeru itu, lima teras dan 26 hala tuju dirangka melibatkan 162 keseluruhan cadangan pembangunan dalam mencapai visi menjadikan ‘Jasin Ke Arah Perbandaran Lestari, Berdaya Saing dan Inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) 2035 (Penggantian) di Dewan Alamanda di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan; Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Md Nazri Abdullah.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Yang Dipertua MPJ, Datin Sapiah Haron dan Pengarah PLANMalaysia Melaka, Norjafni Zainuddin.
Mengulas lanjut Sulaiman berkata, daripada 162 cadangan pembangunan itu, 20 cadangan adalah projek berimpak tinggi dan 45 lagi projek disenaraikan sebagai projek ‘quick-win’.
“Projek ‘quick-win’ ini boleh dilaksanakan dalam jangka pendek iaitu dengan kadar segera yang memberi manfaat dan impak kepada penduduk di kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.