Transformasi budaya kerja di KKM atasi isu buli – Khairy
Beliau berkata transformasi itu akan menggariskan prinsip serta nilai budaya kerja yang baharu di KKM berdasarkan laporan kaji selidik Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF) yang dipengerusikan oleh Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.
Khairy berkata laporan kaji selidik itu adalah adil dan teliti serta maklum balas keseluruhan mengenai laporan itu akan diberikannya minggu hadapan.
“Tetapi respons awal, kita akan bawa kepada transformasi budaya tempat kerja di KKM. Survei yang dibuat melibatkan responden besar iaitu lebih 100,000 petugas di KKM.
“Berita baiknya 60 peratus berpuas hati dengan budaya kerja di KKM manakala yang tidak berapa bagus berkata ada wujud elemen buli di tempat kerja yang agak toksik dan sebagainya, ini perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Daerah Rembau di Dewan Perpatih, PPD Rembau di sini hari ini.
Khairy berkata tekanan kerja dapat membantu untuk melatih doktor atau jururawat muda menjalani tugas yang penting tetapi tekanan tidak seharusnya diberikan sehingga berlaku gangguan dari segi lisan, mental atau fizikal.
Beliau menjelaskan garis panduan dan etika kerja adalah penting tetapi apa yang lebih utama adalah bagaimana memastikan garis panduan itu diterjemahkan di lapangan.
“Tekanan kerja kini berbeza dengan dulu jadi perubahan perlu mengikut peredaran zaman dan memahami generasi baharu yang mempunyai jangkaan berbeza.
“Saya rasa bukan hanya di KKM tetapi di mana-mana organisasi mesti ‘Zero Harassment, Zero Bully’ (sifar gangguan, sifar buli)…maruah manusia perlu dijaga, jika tidak organisasi tidak mendapat produktiviti yang maksimum daripada pekerja,” katanya.
Media hari ini melaporkan kaji selidik berkaitan budaya kerja yang disertai 110,411 pegawai dan kakitangan KKM menunjukkan lebih 60 peratus responden menyatakan budaya kerja di KKM adalah positif terutamanya penjagaan pesakit, komuniti dan kerja berpasukan.
Kira-kira 20 peratus dalam kalangan petugas KKM pula mengakui memang wujud budaya negatif termasuk gejala buli ketika bertugas.
Dalam perkembangan lain, Khairy berkata KKM akan melihat masalah kekurangan jururawat di fasiliti kesihatan awam dan berusaha mencari penyelesaian terbaik mengenai perkara itu.
Beliau berkata KKM dalam proses mengisi jawatan tersebut dan kementerian turut diminta lebih ramai dilatih untuk menjadi jururawat.
Ditanya adakah KKM memerlukan satu kuasa autonomi berhubung perjawatan kementerian itu, Khairy berkata terdapat cadangan dibuat beberapa tahun lepas supaya diwujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan seperti dalam sektor pendidikan.
Khairy berkata perbincangan lebih lanjut mengenai cadangan tersebut akan dilakukan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) terutamanya melihat dari sudut pro and kontra cadangan itu.
“Cadangan boleh dibuat, tetapi perlu lihat juga implikasinya, perkara ini perlu dilihat dengan serius…memandangkan sektor kesihatan telah pun memberi sumbangan besar sewaktu pandemik COVID-19 dan ia turut mendedahkan kekurangan atau jurang sistem kesihatan negara,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.