Tragedi Syawal: Lelaki maut ditikam bekas adik ipar akibat perebutan anak
Umbai 13 Mei. – Seorang lelaki maut ditikam bekas adik iparnya dipercayai akibat perebutan dua anak perempuan dalam kejadian di Kampung Berangan Enam, di sini, pagi tadi.
Tragedi berdarah berlaku kira-kira 7.30 pagi itu nyata merentap suasana keceriaan Aidilfitri bagi keluarga terbabit serta menggemparkan kampung itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, siasatan mendapati suspek lelaki yang yang berusia 32 tahun datang ke rumah bekas keluarga mentuanya untuk mengambil anakya, awal pagi tadi.
Beliau berkata, mangsa berusia 36 tahun itu dikatakan cuba menenangkan bekas adik iparnya sebelum suspek bertindak luar kawalan menikam mangsa menggunakan senjata pisau yang dibawa.
“Suspek ini datang ke rumah bekas isteri dalam keadaan marah dan mengamuk untuk mengambil dua anaknya berusia lapan dan 10 tahun sebelum mangsa cuba menenangkan lelaki itu.
“Kemudian berlaku pergelutan dan suspek bertindak menikam mangsa di bahagian rusuk kanan manakala beberapa ahli keluarga yang lain sempat melarikan diri,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Sukri, suspek yang datang menaiki kereta jenis Perodua Kancil itu berjaya melarikan diri dan motif kejadian juga adalah disebabkan oleh perebutan anak.
“Buat masa ini punca kejadian kita sahkan kerana perebutan anak yang mana suspek bercerai dengan bekas isteri sejak Januari lalu.
“Pihak polis juga sedang berusaha untuk mengesan suspek yang melarikan diri dan semakan juga mendapati dia mempunyai satu rekod kes lampau berkaitan dadah,” katanya.
Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
“Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.