Sorting by

×

Tragedi mandi sungai

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

AYER MOLEK 20 Mei. – Kasih seorang abang tidak bernokhtah apabila sanggup terjun ke dalam sungai demi menyelamatkan adiknya yang terkapai-kapai di Sungai Tambak Paya petang semalam.

Namun, usahanya hampa apabila adiknya, Muhammad Faris Firdaus Mohd Sabri, 11, yang juga seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) lembam tenggelam dan hilang sebelum ditemui lemas.

ANGGOTA polis mendapatkan maklumat daripada abang dan rakan mangsa yang mandi bersama di Sungai Tambak Paya ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama abangnya yang berusia 18 tahun serta dua rakan masing-masing berusia 14 dan 11 tahun pergi ke sungai itu untuk bermandi-manda pada jam 3 petang.

“Pada jam 3.40 petang mangsa telah terjun ke dalam sungai dan terkapai-kapai meminta bantuan.

“Abang mangsa terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa tetapi tidak berjaya kerana mangsa telah tenggelam.

“Dia kemudiannya bertindak meminta bantuan orang yang lalu di kawasan tersebut untuk menghubungi pihak polis dan bomba,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

KETUA Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad.

Katanya, anggota bomba dari Balai Bomba Bukit Katil, Ayer Keroh dan Melaka Tengah tiba pada jam 3.50 petang dan operasi mencari dilakukan di kawasan sungai.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bomba berjaya menjumpai mangsa pada jarak kira-kira 15 meter daripada jarak si mangsa terjun.

“Pihak ambulans (perubatan) dari Hospital Melaka, Pembantu Perubatan Afifah Munirah Azlan telah membuat pengesahan kematian di lokasi kejadian dan membawa mayat ke Hospital Melaka pada jam 5.15 petang dan tiba di Unit Kecemasan pada  jam 5.45 petang,” katanya.

ANGGOTA polis menunjukkan lokasi penemuan mayat mangsa lemas di Sungai Tambak Paya.

Afzanizar berkata, pada jam 6.45 petang Dr. Lau Choon Han dari Unit Kecemasan Hospital Melaka membuat pemeriksaan ke atas mangsa.

“Selesai pemeriksaan, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besar Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati ibu bapa sentiasa memantau kegiatan anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya minta semua ibu bapa sentiasa mengawasi anak masing-masing supaya tidak bermain di kawasan sungai dan tali air ketika musim hujan ini.

“Sudah tiga kes kejadian lemas dalam masa dua hari membabitkan kanak-kanak, jadi saya berharap ibu bapa ambil iktibar,” katanya.

BERITA BERKAITAN: Kanak-kanak 11 tahun korban lemas ketiga di Melaka

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post PM Muhyiddin tiup semangat Harimau Malaya
Next post ‘Abah’ Muhyiddin kekal pemimpin politik tanah air paling popular
Ubah saiz-+=