TRAGEDI KM204: 7 DISAHKAN MAUT, IDENTITI 5 MANGSA DIKENAL PASTI
ALOR GAJAH 24 Disember – Seramai tujuh mangsa disahkan terkorban dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 204, Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, malam tadi.
Nahas itu mengorbankan pemandu serta empat penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima, termasuk seorang kanak-kanak berusia dua tahun.
Manakala, dua lagi mangsa yang maut adalah pemandu dan seorang penumpang bas persiaran.
Antara identiti mangsa maut yang telah dikenal pasti adalah Khairul Ikhwan Mazupi, 32 (pemandu MPV); Fadzlenna Ramli, 32 (penumpang MPV); Ramli Ab Wahab, 66 (penumpang MPV); Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2 (penumpang MPV) dan Noorisnien Khamid, 56 (pemandu bas).
Manakala identiti dua lagi mangsa yang maut iaitu penumpang MPV dan bas persiaran masih belum diketahui.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas persiaran dinaiki pemandu dan 27 penumpang dari arah utara ke selatan telah terlanggar tayar sebuah lori yang tercabut dan berada di lorong tengah jalan.
Katanya, akibat pelanggaran itu, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan telah melanggar sebuah kereta jenis Perodua Bezza, sebelum bertembung dengan sebuah lagi lori jenis Nissan dan MPV jenis Toyota Estima yang dinaiki lapan orang yang sedang menghala ke utara.
“Akibat kemalangan tersebut, seorang pemandu dan penumpang bas persiaran serta pemandu dan empat penumpang MPV maut di tempat kejadian.
“Kesemua mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi menjalankan bedah siasat.
“Manakala, enam lagi individu iaitu pemandu dan kelindan lori, pemandu Perodua Bezza dan penumpang MPV mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Melaka,” katanya.
Beliau memaklumkan, kesemua kenderaan terlibat juga dibawa ke PUSPAKOM bagi pemeriksaan kenderaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.