Sorting by

×

Tragedi kepala air: Satu lagi mayat dijumpai pagi ini

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

CHUKAI, 4 Julai – Satu lagi mayat dipercayai mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, ditemukan pagi ini.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Penguasa Kanan II Azman Alias berkata mayat dipercayai remaja perempuan ditemukan pada 7.45 pagi sekali gus menjadikan keseluruhan tujuh mangsa telah dijumpai setakat ini.

Bagaimanapun, identiti mangsa belum dikenal pasti kerana pengecaman mayat belum dilakukan oleh waris.

“Mayat dijumpai oleh penduduk kampung di belakang Masjid Kampung Dadong, kira-kira 12 kilometer dari lokasi kejadian. Mayat dibawa naik dari sungai pada 8.15 pagi dan dibawa ke Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih,” katanya kepada pemberita hari ini.

Setakat semalam, enam mayat telah ditemukan dan dikenal pasti identitinya iaitu Karim Abdullah, 39; Azizah Eiyi, 40; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya Karim, 10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Mangsa yang masih hilang ialah Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, Putri Alleya Maisarah Karim, 16, Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.

Dilaporkan Karim dan Azizah bersama tujuh anak mereka serta Muhammad Fikri yang juga tunang kepada Putri Balqis Izzati pergi berkelah di jeram berkenaan pada Sabtu sebelum hilang dihanyutkan kepala air.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post Sidang DUN Julai bakal bentang RUU Anti Lompat Parti – KM
Next post Penyatuan seni silat di Perkampungan Hang Tuah
Ubah saiz-+=