Tragedi goreng ayam
BACHANG 11 Nov. – Akibat terlupa ayam yang sedang digoreng di dapur, lima sekeluarga termasuk ibu tunggal kerugian lebih RM100,000 selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Baroh, di sini pagi tadi.
Mangsa, Anisah Mamat, 41, berkata, kejadian disedari anak perempuannya berusia 12 tahun yang sebelum itu sedang menggoreng ayam sebelum meninggalkannya seketika untuk ke ruang tamu.
“Waktu itu, saya sedang mengemas rumah dan dikejutkan dengan jeritan anak perempuan mengatakan api sudah marak di bahagian dapur.
“Saya terkejut kerana tidak tahu dia menggoreng ayam kerana selalunya saya yang menyediakan makan tengah hari buat kami lima sekeluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Ibu tunggal itu berkata, anak sulungnya berusia 16 tahun kemudian cuba memadamkan api menggunakan air, namun tidak berjaya.
“Api bertambah marak menyebabkan saya terpaksa mengambil keputusan memapah ibu Leha Abu Hassan, 75, yang terlantar akibat sakit tua ke rumah jiran.
“Pada masa sama, tiga anak termasuk yang bongsu berusia 11 tahun cuba menyelamatkan beberapa dokumen penting sebelum api terus memusnahkan sepenuhnya rumah menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggang.
“Kerugian dianggarkan lebih RM100,000 termasuk perabot, barangan elektrik dan wang simpanan dalam tabung yang turut hangus,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Timbalan Penguasa Bomba II Jum’at Tariman berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada pukul 11.19 pagi sebelum sepasukan 12 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya dilokasi pada jam 11.25 pagi, didapati rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 50 x 60 kaki persegi itu telah terbakar keseluruhannya.
“Kebakaran itu kemudian berjaya dikawal pada pukul 11.37 pagi sebelum operasi tamat pada pukul 1.32 petang,” katanya.