![Img 20250215 Wa0037](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/IMG-20250215-WA0037.jpg?v=1739606210)
TRAGEDI BOT TERBALIK: MAYAT PEMUDA DITEMUI
MERLIMAU 15 Februari – Mayat pemuda yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama tiga ahli keluarga terbalik di Loji Lanchang, Kampung Lanchang, di sini, telah ditemui.
Mayat pemuda berusia 21 tahun itu ditemui pada jam 2.21 petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Farid Abu Bakar berkata, mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi mangsa terjatuh.
“Mangsa ditemui di sektor pencarian pertama iaitu di lokasi mangsa terjatuh dan telah dibawa naik ke darat.
“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan menggunakan teknik ‘water surface’ membabitkan dua buah bot dari BBP Jasin Bestari dan orang awam.
Jelas beliau, pencarian itu melibatkan tiga sektor iaitu sektor pertama lokasi mangsa terjatuh, diikuti sektor kedua di tengah sungai (arus deras) dan sektor terakhir di hujung muara sungai.
Menurutnya, operasi tamat pada jam 3.26 petang.
Terdahulu, media melaporkan, bot dinaiki empat sekeluarga yang dipercayai sedang menjala ikan terbalik di kawasan berhampiran Loji Lanchang.
Tiga daripada mereka termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.