
Tradisi rumah terbuka pupuk perpaduan rakyat
KUALA LINGGI 24 April – Tradisi rumah terbuka Aidilfitri perlu dikekalkan demi menjamin kesepaduan rakyat yang berbilang kaum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah berkata ia berikutan suasana sambutan Aidilfitri yang dipamerkan pada tahun ini lebih meriah.
“Alhamdulillah selamat hari raya kepada semua yang hadir hari ini, saya harapkan Aidilfitri tahun ini lebih meriah sambutannya.
“Justeru itu, suasana seperti ini perlu dikekalkan demi Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk,” katanya yang juga Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi anjurannya bersama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum di Japerun Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Turut menyerikan majlis berkenaan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, barisan Exco Kerajaan Negeri serta Adun-Adun Kerajaan Negeri.
Majlis rumah terbuka berkenaan dihadiri kira-kira 2,000 tetamu dari seluruh DUN Kuala Linggi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.