Sorting by

×

TRADISI RAYA DI LENDU TERJEMAH SEMANGAT PERPADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

LENDU 13 April – Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu bukan sekadar jamuan makan, sebaliknya ia lambang sebuah ikatan silaturahim di antara masyarakat berbilang kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sejak tradisi penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dimulakan di Melaka, semangat perpaduan itu lebih utuh tanpa mengira warna kulit, agama dan fahaman politik.

Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka Ke-12 memaklumkan, tahun ini, kemeriahan itu terus dirasai apabila segenap lapisan masyarakat berhimpun dan bersama memeriahkan suasana hari raya di seluruh negeri.

“Inilah semangat yang dibawa Kerajaan Perpaduan ini di mana sambutan ini dihadiri oleh semua tanpa mengira agama umur dan siasah.

“Saya percaya bukan sahaja di Lendu, tetapi di kesemua 28 DUN yang lain juga begitu meriah suasananya sekali gus membuktikan orang Melaka ini semuanya ramah dan harmoni.

“Sebagai wakil rakyat kawasan Lendu, saya mahu meraikan semua kerana inilah tanggungjawab saya sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada majlis berkenaan yang diadakan di Kompleks Japerun Lendu, di sini, malam tadi.

Terdahulu, sambutan itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Img 20250413 wa0035
KEMERIAHAN suasana di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Lendu.

Dianggarkan lebih 5,000 tetamu hadir ke sambutan itu yang bermula pada jam 8 malam tadi.

Pelbagai juadah disajikan kepada pengunjung, antaranya ayam golek, mi goreng, lemang, rendang ayam dan lain-lain lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

612
Kongsi :
Previous post JALAN PINTASAN BAHARU UNTUK ORANG MERLIMAU
Next post PELUNCURAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 DI MELAKA PADA SEPTEMBER