Sorting by

×

Tradisi mantai kembali meriah

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

SEREMBAN, 30 April – Kemeriahan mantai kembali dirasai khususnya buat penduduk di Negeri Sembilan menerusi aktiviti melapah dan menjual daging setelah dua tahun tradisi itu tidak dapat dilaksanakan secara kelaziman susulan pandemik COVID-19.

Seawal 5 pagi tadi, pekarangan Seremban Centrepoint telah dikunjungi penduduk di sekitar Seremban untuk membeli daging dan barangan basah lain bagi persiapan Aidilfitri tidak lama lagi.

Kelainan sambutan mantai kali ini, pembeli boleh membuat pesanan dalam talian menerusi aplikasi Agrobazar Online bagi menempah daging lembu atau kerbau kemudian mengambil pesanan itu di tujuh pasar terpilih di negeri ini bagi mengelakkan kesesakan.

Peniaga, Hazmi Syakir Hirzan Bazli berkata inisiatif kerajaan negeri memperkenalkan aplikasi itu mendapat sambutan menggalakkan dan mula membungkus pesanan pelanggan sejak awal 2 pagi tadi.

“Pukul 12 tengah malam tadi saya sudah berada di tapak pasar ini bagi persiapan untuk berniaga, kira-kira 5 pagi tadi sudah ada pelanggan membeli daging di sini, sehingga 9 pagi tadi hampir 200 kilogram daging telah dijual termasuk pesanan dalam talian,” katanya kepada pemberita.

Peniaga berusia 30 tahun itu yang juga penternak lembu di Lubok China menyasarkan untuk menjual daging daripada 12 ekor lembu ternakannya dan menyifatkan pendapatan perniagaan keluarganya itu semakin baik sejak negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

“Menerusi pesanan secara dalam talianpembeli juga boleh memilih bahagian mana (organ lembu) hendak dibeli dengan menulis pada ruang yang disediakan dalam sistem pesanan itu,” katanya yang menjual antaranya daging pejal berharga RM36, batang pinang (RM45) dan tulang (RM35) bagi sekilogram.

Beliau menerima tempahan secara dalam talian sebanyak 80 kilogram untuk hari ini.

Rosdi Yusof, 45, dari Taman Sri Pulai, lebih memilih membeli di pasar berbanding membuat pesanan dalam talian kerana mahu merasai kemeriahan mantai dan suasana menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Dalam tempoh dua tahun sebelum ini, pergerakan kita terbatas akibat COVID-19, sekarang kita dapat menyambut hari raya, jadi saya mahu suasana seperti dahulu dengan membuat persiapan membeli daging mantai di pasar untuk memasak rendang nanti,” katanya.

Norhaslinda Mohamed, 39, pula membeli dua kilogram daging hari ini untuk ibu bapanya di Jelebu serta adik-beradiknya yang lain kerana dia tidak dapat bersama keluarga di kampung pada perayaan kali ini.

Katanya, sambutan Aidilfitri kali ini lebih meriah dengan kembalinya aktiviti mantai yang amat sinonim dengan masyarakat di negeri ini.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata aktiviti mantai bagi sambutan perayaan kali ini melibatkan 420 ekor lembu dengan kos RM1.68 juta.

Katanya daripada jumlah itu, kerajaan negeri menerima tempahan sebanyak 241 kilogram secara dalam talian dan pembeli boleh mengambil tempahan mereka di beberapa pasar yang ditetapkan.

“Mantai ini adalah tradisi masyarakat di negeri ini sempena menyambut Ramadan dan Aidilfitri, sebab itu ramai anak perantau Negeri Sembilan akan pulang ke kampung lebih awal untuk meraikan mantai.

“Uniknya mantai ini, setiap daerah ada kelebihan masing-masing, contohnya di Rembau, daging kerbau menjadi pilihan utama,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1868
Kongsi :
Previous post Hampir 10,000 pekerja TNB bertugas pada Aidilfitri, pastikan bekalan elektrik stabil
Next post Semua aktiviti sukan dan rekreasi dibenar tanpa sekatan, status vaksinasi – KBS
Ubah saiz-+=