Sorting by

×

TRADISI ‘BARAAN’ HIDUPKAN AIDILFITRI DI KAMPUNG PAYA DALAM

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER MOLEK 1 April – Berpeluang meraikan Aidilfitri bersama masyarakat jawa di Melaka memberikan pengalaman baharu buat Muhamad Amirul Basir Ahmud, yang berasal dari Puchong, Selangor.

Lazimnya suasana kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dalam kalangan umat Islam adalah sama di kebanyakan tempat, namun tradisinya agak berbeza.

Seperti masyarakat Jawa di Melaka, mereka masih mengekalkan amalan ‘munjung’ iaitu tradisi bertukar makanan kepada jiran tetangga sebelum tibanya Aidilfitri.

Malah, pada pagi Syawal atau hari raya pertama pula, mereka akan berkumpul bersama keluarga besar sebelum meneruskan tradisi ‘baraan’ pula iaitu mengunjungi rumah sanak saudara.

Menurut Muhamad Amirul, 28, pengalaman raya berbeza itu dirasainya apabila meraikan Aidilfitri di kampung isterinya Nur Masyitah Mohd Redzwan, 26, di Kampung Paya Dalam, di sini.

“Sebut sahaja pengalaman pertama sudah tentu ada perkara baharu yang saya tempuhi seperti tradisi baraan dan apa yang ketara adalah suasana kemeriahan dalam keluarga besar.

“Saya dimaklumkan kebanyakan penduduk di sini adalah saudara-mara dan tradisi berkunjung mereka pula dikatakan golongan muda akan berkunjung ke rumah mereka yang lebih tua.

“Malah menariknya lagi loghat Jawa masih diguna pakai oleh mereka yang berusia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20250331 191757 192
MUHAMAD Amirul dan isterinya merasai juadah istimewa ketupat bersama sambal goreng jawa yang disajikan pada hari raya pertama Aidilfitri di Kampung Paya Dalam. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut Muhamad Amirul, dari segi juadah Aidilfitri pula, masyarakat Jawa akan menghidang sambal Jawa selain turut menghidang rendang, ketupat dan lemang.

“Boleh katakan banyak juga perkara baharu saya dapat belajar dan boleh katakan orang Jawa ini amat ramah serta senang bergaul.

“Walaupun saya orang baharu tetapi tidak berasa janggal kerana sikap ramah mereka yang sering menyapa ini membuat saya cepat selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

700
Kongsi :
Previous post LELAKI DIKHUATIRI LEMAS DI LAMAN TIGA BUDAYA
Next post KACAU DODOL SEKAMPUNG DURIAN TUNGGAL LUAR BIASA MERIAH