TPM lancar TMM2024, 14 Julai ini
KUALA LUMPUR 21 Jun – Bahang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) kian terasa dengan pelancarannya dijangka disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), pada 14 Julai ini.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, majlis pelancaran itu juga akan dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.
Katanya, pelbagai acara menarik diatur sempena pelancaran TMM2024 termasuk festival yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Julai.
Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, antara tarikan utama sepanjang festival itu nanti adalah belon udara panas, gerai mempromosikan pelbagai produk dan pakej pelancongan Negeri Melaka serta Program ‘Ride & Run Morning Car Free Zone’ di Dataran Merdeka.
“Festival TMM2024 di MaTiC itu nanti akan dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dijayakan oleh agensi dan jabatan Kerajaan Negeri Melaka seperti Briged Seni, Institut Warisan Melaka (INSWA), Tourism Melaka dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka.
“Pada malam pelancaran itu nanti akan diserikan dengan persembahan artis seperti Datuk Amy Search, Datuk Hattan dan Ratu Rock Ella.
“Persiapan pelancaran TMM2024 kini pada peringkat akhir, semuanya dirancang dengan terpeinci agar berlangsung dalam suasana meriah dan gemilang, sekali gus memberikan impak kepada sektor pelancongan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perbincangan Penganjuran Festival Tahun Melawat Melaka di Bilik Mesyuarat Utama, MaTiC, di sini pada Selasa.
Hadir sama pada mesyuarat itu timbalan beliau, Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka (BPP) Sa’ari Basiron.
TMM2024 dengan slogan ‘Mana Lagi? Melaka Ler…’ bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan menjadikan Melaka sebagai ‘top of the mind and preferred tourism destination’ dengan sasaran 15 hingga 18 juta pelancong.
Objektif lain TMM2024 adalah untuk memperkenalkan produk pelancongan baharu dengan ‘Hot Air Balloon’ (belon udara panas) sebagai ‘signature products.
Selain itu ia juga bagi menggalakkan penyertaan komuniti setempat (CBT) dan meningkatkan perusahaan kecil sederhana (SME) serta menggalakkan penglibatan rakyat Negeri Melaka dalam memelihara dan memulihara, konservasi, melidungi tarikan pelancongan sejarah warisan serta alam semula jadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.