Tower Hunt: Jelajah dua menara ikonik promosi TMM2024
KUALA LUMPUR 14 Disember – Seramai 120 peserta terdiri daripada 30 kumpulan berkenderaan akan menyertai misi jelajah Tower Hunt yang diadakan di dua menara ikonik iaitu Menara Kuala Lumpur dan Menara Taming Sari.
Program berkonsepkan pencarian harta karun atau ‘tresure hunt itu bakal membabitkan jarak 122 kilometer (km) yang bermula di Menara Kuala Lumpur dan berakhir di Menara Taming Sari pada 23 Disember ini.
Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, program julung kali diadakan membabitkan kolaborasi di antara dua lokasi tarikan pelancongan negara itu sekali gus mampu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024)
Jelas beliau, Tower Hunt yang diadakan sempena sambutan Ulangtahun Menara Taming Sari ke-15 pada 23 Disember depan merupakan antara penganjuran awal bagi menarik kehadiran pelancong ke Melaka.
“Program ini adalah program awal untuk kita belajar bagaimana sambutannya dapat menarik lebih ramai lagi pelancong ke Melaka dan kita dalam proses menilai perkara ini supaya penganjuran dengan skala yang lebih besar dapat diadakan pada tahun hadapan.
“Kita melihat kedua-dua menara ikonik ini saling melengkapi di antara satu sama lain untuk mempromosi tarikan pelancongan yang ada dalam negara.
“Kesemua peserta yang menyertai acara ini juga adalah duta kepada sektor pelancongan Melaka kerana di sepanjang perjalanan bermula di Menara Kuala Lumpur dan berakhir di Melaka, mereka akan meneroka perjalanan dan ini signifikan bagi mempromosikan pelancongan di Melaka dan Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Tower Hunt di Menara Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazri Saad; Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Shaikh serta tetamu lain.
Mengulas lanjut, Zaidi memaklumkan pendaftaran bagi program Tower Hunt itu masih lagi dibuka buat orang ramai yang berminat sebelum 23 Disember depan membabitkan kategori umur 18 hingga 60 tahun.
Katanya, program berkenaan dijangka akan dilepaskan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bermula pada jam 7.30 pagi di pekarangan Menara Kuala Lumpur.
“Yuran penyertaan ialah RM100 untuk satu kereta dan hadiah yang ditawarkan adalah sebanyak RM2,000 untuk hadiah utama, diikuti RM1,500 bagi tempat kedua, seterusnya RM1,000, RM500 dan RM400 bagi tempat ketiga, keempat dan kelima,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.