Tourism Malaysia umum penempatan baharu kumpulan pengurusan
PUTRAJAYA, 6 Jan – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) pada 5 Januari 2021 mengumumkan beberapa pertukaran penempatan bagi Pengarah Kanan, Pengarah dan Timbalan Pengarah Kanan dalam usaha untuk memperkukuh struktur organisasi bagi mencapai sasaran strategiknya pada tahun ini dalam merancakkan kembali sektor pelancongan.
Datuk Zainuddin Abdul Wahab yang sebelum ini merupakan Pengarah Kanan di Bahagian Perancangan Strategik, telah dilantik sebagai Pengarah Kanan Pengurusan dan menanggung kerja Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) berkuatkuasa 4 Januari 2021.
Sementara itu, Iskandar Mirza Mohd Yusof mengambil alih tugas sebagai Pengarah Kanan di Bahagian Perancangan Strategik manakala Datin Rafidah Idris dilantik sebagai Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat yang baharu.
Selain itu, Mohamed Amin Yahya dan Ahmad Johanif Mohd Ali yang merupakan Timbalan Pengarah Kanan, masing-masing menanggung kerja sebagai Pengarah di Bahagian Sumber Manusia dan Bahagian Pembangunan Pakej, berkuatkuasa tarikh sama.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zulkifly Md Said berkata, pihaknya akan terus meningkatkan aktiviti promosi pelancongan domestik menerusi pelaksanaan pakej rangsangan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan bagi tahun 2021.
“Biarpun pelancongan domestik tidak dapat mengambil alih ketibaan pelancong antarabangsa buat masa ini, pelancongan domestik tetap memainkan peranan sebagai penyumbang utama kepada kelangsungan ekonomi negara,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai siaran media mahupun maklumat mengenai industri pelancongan Malaysia, boleh melayari laman sesawang Pusat Media Tourism Malaysia di http://www.tourism.gov.my/-BERNAMA