Tourism Malaysia adakan jelajah promosi di 6 bandar di India
NEW DELHI, 19 April – Tourism Malaysia mengadakan jelajah promosi ke enam bandar di India untuk menarik kembali pelancong susulan penyambungan semula penerbangan antara Malaysia dan India yang meningkatkan permintaan perjalanan.
Memandangkan India membenarkan penerbangan penumpang antarabangsa pada 27 Mac dan Malaysia membuka semula sempadannya pada 1 April, jumlah penerbangan antara kedua-dua negara mencecah 76 penerbangan setiap minggu berbanding kira-kira 200 penerbangan sebelum pandemik.
Lebih banyak penerbangan akan dibuka dan dijangka mengurangkan tambang bagi laluan Malaysia-India, kata pegawai Tourism Malaysia.
Kumpulan industri pelancongan Malaysia terdiri ejen pelancongan, pengusaha hotel dan pengendali pelancongan telah memulakan jerayawara di New Delhi pada Isnin.
Selain ibu negara India, jerayawara itu juga diadakan di Ahmedabad, Mumbai, Hyderabad, Bangalore, dan Chennai bermula 18 hingga 30 April.
“Ini adalah kempen antarabangsa utama kami yang pertama sejak pembukaan semula sempadan Malaysia. Memandangkan India sebagai antara sumber penting pelancong kami, ini adalah masa sesuai untuk mengadakan jelajah,” kata Pengarah Kanan bahagian promosi antarabangsa Tourism Malaysia, Manoharan Periasamy.
Jerayawara itu bertujuan menanam keyakinan dalam kalangan pelancong India bahawa Malaysia bersedia sepenuhnya untuk menyambut ketibaan pelancong.
“Kami telah menerima maklum balas yang baik daripada pasaran India. Apabila perjalanan udara berkembang, tambang akan turun dan lebih ramai orang akan datang ke Malaysia,” katanya.
Pengarah pejabat Tourism Malaysia di New Delhi Sulaiman Suip, berkata AirAsia, Malindo Air dan syarikat penerbangan lain merancang untuk menghubungkan lebih banyak bandar India dengan Kuala Lumpur pada musim panas ini.
Malaysia mencatatkan 735,309 ketibaan pelancong India pada 2019 berbanding 600,311 pada 2018, menurut data Malaysia.
India adalah sumber ketibaan asing ketujuh terbesar bagi Malaysia sebelum pandemik.
Malaysia menamatkan keperluan kuarantin untuk pelancong antarabangsa yang lengkap vaksinasi.
Pengembara hanya perlu menjalani ujian saringan RT-PCR dua hari sebelum berlepas dan RTK-Ag dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.