Total Lockdown: Melaka pilih kesihatan daripada ekonomi – KM
AYER KEROH 28 Mei – Melaka menyambut baik penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama seperti yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, walaupun pelaksanaan itu bakal memberi kesan dari sudut ekonomi, namun beliau mewakili kerajaan negeri terpaksa memilih kesihatan sebagai agenda utama yang perlu dijaga untuk masa depan negara.
Katanya lagi, sekiranya krisis kesihatan terus diabaikan, ia dikhuatiri akan memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi dan negara itu sendiri.
“Walaupun ekonomi itu penting, tetapi demi ekonomi pada masa hadapan, kesihatan ini perlu menjadi keutamaan. Jika kita terus membiarkan perkara ini dan kemudian semakin ramai rakyat dijangkiti, bagaimana ekonomi kita boleh berjalan?
“Dengan kebolehjangkitan yang tinggi dan kes yang mencanak saban hari keputusan ini sememangnya tepat dan saya yakin ini juga yang dinanti-nantikan oleh rakyat Melaka yang sudah pasti bimbang dengan kes harian di negeri ini yang semakin baik.
“Jadi saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana prihatin dengan keadaan ini dan telah membuat satu keputusan yang cukup baik,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Seri Bendahara, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Sulaiman meminta semua rakyat agar bersabar dengan pelaksanaan ‘total lockdown’ fasa pertama selama 14 hari ini dan memberikan kerjasama penuh dalam membantu kerajaan memutuskan rantaian COVID-19.
“Saya tahu mungkin ada yang akan terkesan, tetapi saya minta semuanya patuhilah SOP yang ditetapkan dan banyakkan bersabar.
“Percayalah, walaupun pahit, tetapi ia adalah penawar dan ubat untuk kita menghentikan rantaian COVID-19,” katanya lagi.
Hari ini Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021.
Sepanjang tempoh itu, semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.