‘Total lockdown’ beri kesan kepada rakyat teruskan hidup
PUTRAJAYA 22 Mei – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya tidak dilaksanakan atas pertimbangan antara kesihatan awam dan kepentingan ekonomi rakyat.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika PKP 1.0 yang dilaksanakan tahun lalu, kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM2.4 billion sehari.
Katanya, berikutan itu banyak perniagaan terjejas terutama peniaga kecil yang hanya bergantung kepada sumber pendapatan harian malah keluarga golongan B40 bergelut untuk meneruskan hidup.
“Jika kita tutup lagi, bermakna mereka yang bergantung kepada pendapatan harian tidak mempunyai pendapatan, jadi inilah pertimbangan kerajaan.
“Menerusi media sosial ketika PKP 1.0, ada keluarga yang makan nasi dengan garam dan ini merupakan perkara yang ‘real’ berlaku kepada rakyat terutama golongan miskin atau keluarga B40, jadi itulah sebabnya kita berpandangan perkara itu perlu diambil kira,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sekiranya kerajaan turut menutup operasi syarikat besar sebagaimana disuarakan segelintir rakyat, keadaan itu turut memberi kesan kepada pekerja dan pendapatan syarikat berkenaan.
“Jika ditutup, mungkin ada perniagaan besar ini terpaksa menutup perniagaan mereka dan kesannya bukan sahaja kepada pemilik syarikat, (sebaliknya) saya percaya ramai pekerja akan kehilangan pekerjaan.
“Tidak silap saya, sewaktu PKP 1.0 lebih 800,000 individu hilang pekerjaan bermakna mereka tiada pendapatan.
“Jadi soalnya bagaimana rakyat kita hendak ‘survive’ (meneruskan hidup), jadi sebab itu kita mengambil keputusan untuk tidak membuat ‘total lockdown’ sebaliknya memperketatkan SOP sektor ekonomi,” katanya.
Beliau berkata menerusi pendekatan SOP yang dikuatkuasa kerajaan itu sekali gus dapat mengawal pergerakan orang ramai terutama memastikan penularan COVID-19 dalam komuniti dapat dikurangkan.
“Melalui pendekatan ini kita boleh mengawal penularan dengan syarat, rakyat mesti bersama kita untuk sama-sama melandaikan lengkungan COVID-19,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.