‘Top five’ UMNO sepakat, Ahmad Zahid tepis spekulasi beza pendapat
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berakhir hari ini menyaksikan kesepaduan kepimpinan dalam kalangan pemimpin utamanya sekali gus menolak persepsi umum bahawa berlaku ketidaksefahaman antara mereka.
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata lima pemimpin teratas parti atau ‘Top Five’ sentiasa bermuafakat dalam membuat keputusan melibatkan hal-hal parti dan kepentingan rakyat.
Mengakui terdapat ‘cakap-cakap’ wujud ketidaksamaan antara pemimpin parti dan kerajaan yang turut disentuh dalam perbahasan perwakilan UMNO dan sayap parti, beliau berkata dakwaan itu terbukti tidak berasas sama sekali.
“… fokus adalah kepada isu-isu nasional terutama soal penetapan PRU (pllihan raya umum) dan juga pemilihan parti. Maka perwakilan telah bersetuju bahawa ‘Top Five’ mengadakan perbincangan sebelum ia dibawa ke Majlis Tertinggi untuk dijadikan sebagai ketetapan.
“Saya sukacita memaklumkan kekerapan atau frekuensi kami berlima bertemu adalah tidak kurang setiap sebulan setengah sekali,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2021 berakhir.
Selain Ahmad Zahid, ‘Top Five’ merujuk kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden parti tersebut iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang turut hadir pada sidang media itu.
Ahmad Zahid juga berkata jika ada isu yang melibatkan parti atau kepentingan rakyat, perjumpaan akan dibuat dengan lebih kerap.
Beliau berkata keakraban dan kebersamaan pemimpin utama UMNO dilihat bukan sahaja mendapat sokongan ahli Majlis Tertinggi malah konsep ‘musyawarah’ dan kesepakatan itu adalah inisiatif ‘Top Five’ sendiri meskipun tidak termaktub dalam peraturan serta perlembagaan parti.
Mengulas mengenai tarikh PRU15 sama ada dibuat sebelum atau selepas Julai ini, Ahmad Zahid berkata ia terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan tarikh sebenar pilihan raya umum itu.
Beliau berkata UMNO menghormati Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan September lepas yang akan berakhir Julai ini.
Ahmad Zahid berkata UMNO hanya memberi cadangan berhubung perkara itu berdasarkan faktor dalaman dan luaran parti.
“Ada faktor penolak dan penarik, kami merasakan kestabilan politik harus diwujudkan semula di negara kita, oleh kerana sesebuah parti itu harus menjadi tulang belakang kepada sesebuah kerajaan, maka parti (UMNO) perlu menjadi dominan,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.