Tolong bantu Makcik Bedah, Pak Mat daftar vaksin – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PAYA RUMPUT 14 Mac. – Ketua masyarakat di negeri ini diminta untuk membantu warga emas serta golongan rentan di seluruh pelosok kampung untuk mendaftar suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, ini kerana buat masa ini hanya sekitar 24 peratus sahaja rakyat di negeri ini mendaftar diri bagi suntikan vaksin berkenaan yang dijalankan secara berperingkat dalam tiga fasa bermula hujung bulan lalu sehingga Februari 2022.

Beliau berkata, peranan semua pihak amat penting bagi memastikan tiada satu orang pun tercicir untuk menjadi penerima vaksin itu nanti.

SULAIMAN menyampaikan sumbangan kepada jemaah di Surau Jumaat Ar-Raudhah di Taman Paya Rumput Perdana.

“Saya bimbang, bagaimana Makcik Bedah, Makcik Kiah, Pak Mat, Pak Ali yang berusia lebih 60 tahun atau golongan lembam yang tidak tahu membaca dan menulis serta tidak mempunyai telefon? Bagaimana mereka ini mahu mendaftar di MySejahtera?

“Sebab itulah dalam Mesyuarat Exco tempoh hari, saya maklumkan kepada semua termasuk Exco, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin setempat yang lain agar memastikan tidak ada satu orang pun di ceruk kampung, solok atau desa tercicir daripada mendaftar.

“Saya minta mereka ini membantu untuk membolehkan semua golongan berusia 18 tahun ke atas didaftarkan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam usaha kita memerangi pandemik ini,” katanya.

KAUM Hawa turut disantuni dan diberi sumbangan oleh Sulaiman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, pagi ini.

Dalam lawatannya itu, beliau sempat menunaikan solat subuh berjemaah dan mendengar kuliah subuh di Surau Jumaat Ar-Raudhah Taman Paya Rumput Perdana serta menyantuni jemaah di surau berkenaan.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di kawasan itu serta dibawa melihat ke tapak rizab yang akan dibangunkan sekolah agama sedikit masa lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1241
Kongsi :
Previous post Melaka sedia benarkan solat Tarawih
Next post Isu pemanjangan jeti: Pelabuhan Tanjung Bruas, KMB perlu beri penjelasan
Ubah saiz-+=