Tolak parti ekstrimis dalam PRN Melaka- Guan Eng
TENGKERA 13 Nov- Tolak sentimen perkauman dan pilih parti yang tidak ekstrimis serta mampu membentuk kerajaan juga memberi kestabilan kemakmuran pada rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov depan.
Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Lim Guan Eng berkata PH adalah parti yang berbilang kaum dan tidak memainkan politik ekstrimis dalam dasar parti.
Katanya, rakyat lebih bijaksana untuk menilai parti yang stabil dan tidak akan memilih parti bersengketa, bergaduh sesama ahli dan ekstrimis serta gila kuasa.
“Maju bersama Harapan, Pilih lah PH, kalau tengok hari ini, Muhyiddin menyerang pemimpin UMNO dan berlaku serangan balas, bagaimana mereka mahu memimpin di Putrajaya?
“Itu tanda kerajaan gagal, gagal urus kan isu COVID-19, gagal uruskan rakyat, dan ini masanya kita tolak kroni, kta sokong rakyat yang hanya mahukan kerajaan yang stabil dan bukannya yang melawan serta menindas sesama sendiri,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP Melaka, Kampung Pandan, Tengkera, hari ini.
Mengulas lanjut, Guan Eng turut menyarankan supaya rakyat Melaka untuk keluar mengundi dan memilih PH untuk membentuk kerajaan yang stabil.
“Kita serahkan pada rakyat untuk buat keputusan, samada menang atau kalah bergantung pada peratusan yang keluar membuang undi.
“Jika tinggi peratusan rakyat Melaka tidak keluar mengundi, kita mungkin akan kalah, namun jika peratusan undi yang keluar mengundi tinggi maknanya PH yakin akan membentuk kerajaan di Melaka, ” katanya.