Tolak ‘katak’ politik, PH terima pandangan semua pihak
KOTA LAKSAMANA 4 Nov – Pakatan Harapan (PH) Melaka terbuka untuk menerima pandangan daripada mana-mana pihak demi memberikan manfaat terbaik kepada rakyat di negeri ini.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, pihaknya akan membincangkan segala pandangan termasuk isu menerima calon ‘katak’ politik (merujuk kepada ahli politik lompat parti) yang dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini.
“Kaedah yang kita gunakan, kita akan bincangkan pandangan-pandangan ini dan bagi kita hasil daripada perbincangan itu kita mencari yang terbaik kerana dalam konteks PH prinsip tema besar yang mahu kita wujudkan juga menjadi asas utama.
“Bagi saya sebagai PH, memang kita terbuka untuk menerima banyak pandangan sama ada rakan-rakan dari pembangkang ataupun daripada mana-mana pihak..itu memang sikap PH terbuka menerima pandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat DAP Melaka, di sini, yang turut dihadiri Pengerusi DAP negeri Datuk Tey Kok Kiew dan Setiausaha DAP negeri, Damian Yeo Shen Li.
Ujarnya, pandangan sedemikian amat dialu-alukan dalam memastikan PH memacu kekuatan dan yang paling penting adalah membina kestabilan dalam gabungan parti itu sendiri.
“Itu paling penting kita mahu model yang kita gunakan dalam tema besar itu dapat memberikan manfaat yang terbaik kepada rakyat dalam Melaka dan juga Malaysia,” katanya.
“Semua pandangan kita ambil kira, kita harap kita dapat menggabungkan semua kemampuan kita dalam tiga parti (DAP, Amanah dan PKR) di dalam PH.
“Dan juga melalui calon-calon yang kita ketengahkan..kita fikir itulah yang terbaik untuk rakyat Melaka hasil daripada keseluruhan gabungan parti ataupun gabungan individu-individu,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.