Sorting by

×

Tol percuma, diskaun tol sehingga 50 peratus di 30 lebuh raya

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 25 April – Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma dan diskaun tol bagi pengguna di 30 lebuh raya di seluruh negara sempena perayaan Aidilfitri.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik sejak 1 April lalu dan mengambil kira sambutan perayaan Aidilfitri yang dijangka disambut pada 3 Mei ini.

Katanya, langkah itu dilakukan selepas sesi rundingan bersama 30 syarikat konsesi lebuh raya di seluruh negara dengan jumlah diskaun dinikmati pengguna sebanyak RM77.11 juta.

“Jumlah manfaat ini akan ditanggung bersama kerajaan dan syarikat konsesi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata pemberian tol percuma itu melibatkan lebuh raya milik Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) yang menghubungkan jaringan lebuh raya utara-selatan dan Anih Berhad (ANIH) yang menghubungkan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

“Ia akan bermula pada jam 12 tengah malam 30 April (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam 1 Mei (Ahad) kepada semua kelas kenderaan.

“Pemberian tol percuma bagi pengguna PLUS dan LPT juga akan diberikan bagi perjalanan pulang semula ke kediaman masing-masing bermula jam 12 tengah malam, 7 Mei (Sabtu) hingga jam 11.59 malam, 8 Mei (Ahad) ,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga memberikan tawaran diskaun tol antara 30 hingga 50 peratus kepada lebuh raya lain pada tarikh dan masa sama sebagaimana pemberian tol percuma diberikan.

Jelasnya, keputusan itu diharapkan memberikan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga tersayang selain mengambil kira impak pandemik kepada sumber pendapatan sebahagian besar Keluarga Malaysia sebelum ini selain mengurangkan bebanan pengguna lebuh raya terutama golongan berpendapatan rendah.

“Pada masa sama, saya berharap kita sebagai Keluarga Malaysia dapat bertoleransi dan sentiasa bersabar dengan kehadiran jutaan kenderaan di lebuh raya sepanjang musim perayaan yang bakal tiba,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1402
Kongsi :
Previous post Agong terima watikah 19 perwakilan asing ke Malaysia
Next post Maybank mohon maaf berikutan gangguan perkhidmatan terpilih
Ubah saiz-+=