Sorting by

×

Tok sidang nafi meminta dan terima rasuah

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 13 April – Seorang bekas ‘Tok Sidang’ dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan pembuangan bahan terlarang tiga tahun lalu.

Tertuduh Zakaria Manap, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta daripada seorang pengarah urusan iaitu wang tunai sebanyak RM500.

Tindakan itu sebagai dorongan untuk tidak melakukan apa-apa dengan tidak melaporkan kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) atas kesalahan membuang bahan terlarang.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima suatu suapan RM500 daripada pekerja syarikat sama untuk tujuan sama.

Berikutan itu, tertuduh yang sebelum ini bertugas selama kira-kira dua tahun sebagai tok sidang didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Rembia pada 20 dan 21 Jan 2019.

Prosiding pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa SPRM Melaka Nur Syakila Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam selain dia dibenarkan ikat jamin RM5,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1463
Kongsi :
Previous post Presiden DMDI Bosnia terima gelaran Datuk
Next post Ismail Sabri harap sambutan Songkran eratkan hubungan kekeluargaan, silaturahim
Ubah saiz-+=