‘Tok Sidang’ kembara 191 masjid di Melaka, sempurnakan misi jelajah subuh
AYER KEROH 31 Julai – Walaupun bergerak solo, ia bukan penghalang untuk Shaari Abu, 62, memulakan misi Jelajah Subuh di kesemua 191 buah masjid dalam negeri ini.
Beliau yang merupakan Yang Dipertua Persatuan Ketua-Ketua Kampung (Sidang) Negeri Melaka telah memulakan misi itu sejak Syawal lalu dan sehingga kini sebanyak 105 masjid telah dijelajahinya.
Niatnya hanya satu, iaitu mahu mendekati masyarakat, selain memberi galakan kepada umat Islam mengimarahkan masjid terutama sewaktu solat subuh.
“Program ini adalah aktiviti peribadi saya secara solo untuk berjumpa penduduk setempat, alhamdulillah selepas masjid ke-40 saya lawati, rakan-rakan saya mula turut serta dalam program ini.
“Insya-Allah berbaki 86 buah masjid lagi, saya berharap misi ini dapat diselesaikan sebelum Syawal tahun depan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shaari, sepanjang misi tersebut, terdapat beberapa cabaran dan dugaan terpaksa ditempuhinya, antaranya gangguan perkara-perkara mistik sewaktu dalam perjalanan ke masjid kira-kira jam 4 pagi.
“Antaranya saya pernah ternampak keranda sewaktu dalam perjalanan serta bermacam-macam lagi gangguan makhluk halus, namun semua itu tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan misi ini,” katanya.
Shaari yang juga Sidang Kampung Pulau Kelapa Peringgit juga berhasrat untuk menghasilkan sebuah buku berkaitan misi tersebut dengan cadangan tajuk ‘Musafir Di Subuh Hari’.
“Selain memberi inspirasi kepada orang ramai, khususnya anak muda, saya juga mahu berkongsi sejarah masjid yang ada di Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.