‘Tok Ajak’ bentang pencapaian setahun Telok Mas

Masa Membaca:3 Minit, 21 Saat

TELOK MAS 11 Januari – Sebanyak lapan inisiatif berjaya ditunaikan demi kesejahteraan warga Telok Mas sepanjang tahun 2022 yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, lapan inisiatif itu merupakan antara yang terangkum dalam pencapaian tahun 2022 atau kira-kira setahun beliau menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Katanya, lapan inisiatif itu ialah fasiliti awam, keagamaan, kebajikan, komuniti sejahtera, pendudukan, peniaga, inisiatif Demi Telok Mas serta sukan dan rekreasi.

BAWA MASUK PROJEK RM15 JUTA

Menurutnya, membabitkan aspek pembangunan, sejumlah lebih RM15 juta nilai projek telah dibawa masuk ke Telok Mas demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk.

Ia sekali gus menjadikan Telok Mas sebagai antara kawasan yang membawa masuk paling banyak projek pembangunan di Negeri Melaka

“Antaranya adalah inisiatif fasiliti awam di mana banyak jalan raya, dewan, balai raya, longkang serta kawasan-kawasan banjir yang kita telah naik taraf serta baik pulih dalam masa setahun ini.

“Tidak dilupakan juga beberapa penduduk Telok Mas telah menerima manfaat dari segi perumahan apabila berjaya bina baru serta baik pulih Rumah PPRT dan Rumah Prihatin Kerajaan Negeri Melaka.

“Kita juga telah berjaya menunaikan Janji Razak Rahman iaitu pemasangan WiFi percuma di semua masjid dalam DUN Telok Mas. InshaAllah pemasangan WiFi percuma di semua balairaya sedang dalam proses dan dijangka siap sepenuhnya dalam tahun ini,” katanya.

Menurut beliau, dalam aspek kerohanian dan keagamaan, sumbangan kepada beberapa rumah ibadat seperti surau, masjid dan tokong di Telok Mas juga tidak dilupakan.

5
PEMBERIAN telur ayam percuma merupakan sebahagian inisiatif #DemiTelok Mas. Foto Iqmal Haqim Rosman

DEMI TELOK MAS

Pada masa sama, aspek kebajikan menjadi antara yang paling diberi perhatian Abdul Razak, apabila kerja-kerja menjaga dan membantu warga Telok Mas sudah bermula sebelum beliau bergelar wakil rakyat lagi.

Menurutnya, antara bantuan yang diberikan sepanjang tahun lalu adalah pemberian kerusi roda, katil pesakit, kit makanan dan lampin dewasa untuk masyarakat yang ditimpa kesusahan.

“Saya pasti paling yang orang Telok Mas ingat pasal saya adalah 100 kilogram (kg) beras percuma yang saya edarkan sebagai janji saya pada PRN Melaka yang lepas.
“Sejak saya menang di Telok Mas, sebanyak 5,800 kampit beras yang saya telah berikan kepada pasangan pengantin di Telok Mas,” katanya.

Abdul Razak yang juga Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri menambah, selain kebajikan, beliau turut membawa slogan #DemiTelokMas yang membawa makna besar bagi warga DUN berkenaan.

Jelasnya, slogan tersebut dibawa sebagai ikhtiar bagi membantu orang Telok Mas menerusi program-program kemasyarakatan.

“Antara program terbesar kita buat pada tahun 2022 pastinya Program Telur Ayam Percuma dan Isi Minyak Percuma. Kedua-dua ini kita adakan bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Walaupun saya sedar berapa besarlah sangat usaha saya ini, tapi saya yakin sedikit sebanyak program ini dapat meringankan sedikit beban yang dihadapi oleh penduduk Telok Mas.

“Insya-Allah pelbagai lagi program yang saya dan JAPERUN Telok Mas telah rancangkan untuk kita adakan pada tahun 2023. Ada juga beberapa Inisiatif #DemiTelokMas yang kita akan adakan sebagai program tahunan di Telok Mas,” katanya.

4
KERJA-KERJA membaik pulih gelanggang futsal di Taman Jaya, Padang Temu. Foto: Abdul Razak Abdul Rahman

PERKASA MASYARAKAT

Abdul Razak berkata, sebagai pemimpin kawasan beliau turut memandang tinggi aspek pendidikan, kepentingan peniaga kecil dan pemerkasaan aktiviti sukan serta riadah untuk pemerkasaan belia.

Katanya, dalam bidang pendidikan, pihaknya telah menunaikan janji untuk mengadakan tuisyen percuma bagi membantu anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan.

Selain itu, beliau turut mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan khemah kepada peniaga-peniaga kecil dalam kawasan Telok Mas bagi membantu masyarakat setempat berniaga, seterusnya meningkatkan ekonomi keluarga.

Beliau turut memberi tumpuan penuh kepada fasiliti sukan dan rekreasi yang disifatkannya sebagai penyatu rakyat negeri ini dan kawasan Telok Mas khususnya.

“Atas sebab itulah, sepanjang 2022 kita telah membaik pulih beberapa fasiliti sukan seperti gelanggang sepak takraw dan futsal.

“Insya-Allah, saya sudah terfikir beberapa idea untuk kita anjurkan beberapa pertandingan dan kejohanan sukan di DUN Telok Mas termasuklah pertandingan e-sukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2426
Kongsi :
Previous post MBMB peruntuk RM45.3 juta sepanjang 2023
Next post Siapa buang sisa simen dalam longkang?
Ubah saiz-+=