TNG lancar kad tambah nilai Touch ‘n Go sifar surcaj
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Effendy Shahul Hamid berkata tiada surcaj tambah nilai akan dikenakan untuk penggunaan perkhidmatan itu.
“Kami gembira dapat memperkenalkannya ke pasaran kerana ia menangani masalah yang sering dihadapi pengguna iaitu kesukaran melakukan tambah nilai.
“TNG menjangkakan permintaan tinggi untuk kad dinaik taraf ini. Bagaimanapun, memandangkan kekurangan cip global, kami menjangkakan permintaan akan melebihi bekalan. Justeru, kami akan cuba menghantar kad ini kepada pengguna secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut TNG, kad Touch ‘n Go yang dipertingkatkan itu berwarna merah jambu pastel dan biru pastel dengan tahap ‘encryption’ (penyulitan data) lebih tinggi bagi tujuan keselamatan yang lebih baik.
Sama seperti kad Touch ‘n Go semasa, kad Touch ‘n Go yang dinaik taraf berkenaan boleh digunakan untuk pembayaran tanpa tunai seperti lebuh raya bertol, perkhidmatan pengangkutan awam dan lebih 700 tempat letak kereta di Semenanjung Malaysia.
Kad yang dinaik taraf itu dijual pada harga RM10, harga yang sama dengan kad Touch ‘n Go versi lama dan boleh dibeli di aplikasi Touch ‘n Go eWallet serta di kedai terpilih di seluruh negara.
Selepas menerima kad Touch ‘n Go yang dinaik taraf tersebut pengguna perlu memautkan kad tersebut ke eWallet Touch ‘n Go mereka.
“Pengguna hanya perlu memegang kad di belakang telefon pintar yang dilengkapi ciri ‘Near Field Communication (NFC)’ selama lima saat untuk mengaktifkan kad baharu.
“Selepas melengkapkan pautan, pengguna kemudiannya boleh melihat baki kad dan melakukan tambah nilai. Fungsi ini kini tersedia untuk kedua-dua peranti iOS dan Android,” kata TNG.
TNG berkata pengguna boleh memautkan sehingga lima kad Touch ‘n Go ke Touch ‘n Go eWallet mereka. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.