Sorting by

×

TMM2024 SERLAH KEUNGGULAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TABOH NANING 1 Mac – Kejayaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) telah melakar Melaka sebagai destinasi pelancongan unggul di pentas dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan itu terbukti apabila rekod menunjukkan sepanjang penganjuran TMM2024  Negeri Melaka menerima kemasukan seramai 15.03 juta pengunjung dan pelancong.

“Penganjuran TMM2024 menjadi satu letupan dan dentuman terhebat sehingga berjaya meletakkan Melaka sebagai destinasi pelancongan terunggul di pentas dunia.

“Kemanisan kejayaan yang saya janjikan sewaktu pelancaran TMM2024 yang lalu, dibuktikan menerusi rekod kemasukan pelancong sejumlah 15.03 juta, ” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Penghargaan TMM2024 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Yang turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, Barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri Melaka.

Beliau turut menyatakan penghargaan buat jabatan dan agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat serta menyokong TMM2024, sekali gus menyumbang kepada kejayaan tersebut.

“Tanpa sokongan dan dokongan daripada semua pihak termasuklah pemain-pemain industri pelancongan, percayalah kita tidak mungkin mencapai kejayaan seperti apa yang diterima hari ini di mana kejayaan sektor pelancongan Melaka kini menjadi perhatian dunia.

“Sejujurnya, saya amat berbangga dengan semangat saudara-saudari yang sentiasa menyokong dan menjadi penggerak hasrat kerajaan negeri dalam merealisasikan Tahun Melawat Melaka 2024 dengan cemerlang,” jelasnya.

Sementara itu, lebih 400 jemputan yang mewakili pemain industri pelancongan, agensi kerajaan serta media dan pihak swasta hadir memeriahkan majlis tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post 16 PEGAWAI, ANGGOTA POLIS DIBUANG KERJA JANUARI LALU – JIPS