TMM2024: RM3 juta naik taraf jalan raya luar bandar

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 25 Oktober – Lebih RM3 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk menaik taraf jalan raya di sekitar negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, peruntukan itu membabitkan kira-kira 18 jalan raya di kawasan luar bandar yang akan dinaik taraf.

Mengikut pecahan lokasi, kata beliau, projek naik taraf jalan itu membabitkan lapan jalan dalam daerah Alor Gajah, empat di Jasin dan enam di Melaka Tengah.

“Menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR), kita sedang melaksanakan kerja-kerja naik taraf jalan-jalan di kawasan luar bandar.

“Kesemua jalan-jalan ini dijangka akan siap naik taraf sepenuhnya pada penghujung Disember tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan sesi Walkabout Jawatankuasa Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Keselamatan Tahun Melawat Melaka 2024, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Zahari Abd Kalil; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI) Masrul Faizal Mohamad dan Pengurus Besar Panorama Melaka Sdn Bhd Rohazam Bakar.

Menurut Hameed, selain jalan raya, pihaknya menerusi agensi berkaitan juga sedang mengenal pasti papan tanda yang lusuh untuk dinaik taraf.

Jelasnya, penambahbaikan papan tanda arah di seluruh negeri ini penting untuk membantu kelancaran menyambut pengunjung sempena TMM2024.

“Kita juga meminta pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk menurunkan mana-mana papan tanda yang sudah tidak lagi relevan.

“Semua kerja-kerja ini kita jangkakan siap sepenuhnya selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

884
Kongsi :
Previous post Usahawan wanita daftar SSM, bantu dapat dana
Next post SIRIM bantu tentukan prestasi usahawan
Ubah saiz-+=