Sorting by

×

TMM2024 POSISIKAN MELAKA DI PETA PELANCONGAN DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 25 April – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bangga dengan kejayaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurut beliau, dengan kejayaan menarik kehadiran lebih 15 juta pelancong domestik dan antarabangsa serta menjana pendapatan pelancongan lebih RM12.68 bilion, ia sekali gus meletakkan negeri ini sekali lagi di peta pelancongan dunia.

“Saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif Tahun Melawat Melaka sehingga tahun 2026 seiring dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026. Pelbagai acara besar juga akan diadakan di Melaka.

“Oleh yang demikian, saya berharap semua kemudahan infrastruktur dan prasarana terutama di kawasan-kawasan daya tarikan pelancong mestilah berada dalam keadaan yang amat baik, manakala aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan sentiasa berada pada tahap cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di Dewan Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Turut bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshadbarisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan agensi kerajaan.

Tun Dr. Mohd Ali dalam ucapannya turut menyeru kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan, pihak swasta dan seluruh rakyat bagi memastikan Negeri Melaka terus kekal sebagai destinasi pelancongan unggul kepada pelancong domestik serta antarabangsa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

237
Kongsi :
Previous post USAHAWAN MELAKA PERLU MANFAAT PLATFORM DIGITAL
Next post EKONOMI MELAKA BERKEMBANG PADA KADAR TIGA PERATUS