TMM2024: Perzim bakal kembalikan peristiwa 20 Februari 1956
DUYONG 23 September – Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sedia memberikan komitmen dalam merancakkan pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Zaidi Attan berkata, antara inisiatif yang bakal dilaksanakan adalah menerusi segmen ‘Back To History’ yang bakal menghiasi Pavillion TMM2024, Februari tahun depan.
Katanya, pada segmen itu, Perzim akan mengendalikan sebuah pementasan babak pengisytiharaan kemerdekaan yang berlaku pada tanggal 20 Februari 1956 di Padang Pahlawan, Banda Hilir.
“Perzim diberi tanggungjawab untuk mengurus selama sebulan di Pavillion yang mana program ‘Bermalam di Muzium’ akan menjadi salah satu daripadanya.
“Di Pavillion TMM2024 nanti juga kita bawakan program Pengisytiharan Kemerdekaan, 20 Februari 1956 yang menampilkan pengisian peristiwa tersebut bermula dengan penurunan bendera Union Jack sehingga menaikkan bendera Malaysia.
“Kerajaan Negeri akan memperincikan segala dokumentasi dari Arkib Negara dan saya akan memaklumkan untuk semua negeri terlibat di Pavillion ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Bermalam dDi Muzium yang disertai 203 peserta dari tujuh buah sekolah menengah Negeri Melaka, di Perkampungan Hang Tuah, di sini, semalam.
Majlis Perasmian Program Bermalam di Muzium telah disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A.Kasim dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim Datuk Akramuddin Ab Aziz.
Zaidi yang juga Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, pihaknya akan turut merencanakan pelbagai pengisian berbentuk sejarah yang akan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan tahun hadapan.
“Antaranya adalah cadangan untuk kita bawakan kembali kisah perkahwinan Laksamana Cheng Ho. Ini semua adalah usaha untuk memastikan rakyat kenal sejarah dan kembali kepada perpaduan yang mantap,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.