Sorting by

×

TMM2024: Pelancong dipelawa naik Melaka River Cruise percuma

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Mei – Pelancong merancang bercuti di negeri ini dipelawa untuk merebut peluang menyelurusi dan menikmati keindahan Sungai Melaka menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC) sepuas-puasnya secara percuma.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran percuma itu adalah sebagai tanda meraikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) selain sambutan ulang tahun ke-18 Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM).

Ab Rauf berkata, menerusi tawaran itu pelancong berkenaan boleh menggunakan perkhidmatan MRC sepanjang hari.

“Kepada mana-mana pelancong yang ingin merebut ini hendaklah melakukan pendaftaran secara dalam talian.

“Pendaftaran itu adalah sebagai rujukan bagi menikmati perkhidmatan ini dan ia bersifat ‘first come, first serve’,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu PPSPM di Pengkalan Rama, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan serta Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Tpr. Murad Husin.

Sementara itu Tpr. Murad berkata, pihaknya menyasarkan lebih 10,000 kerusi akan diisi sepanjang hari promosi tersebut dengan operasi bot bermula dari 10 pagi hingga 9 malam.

Bagaimanapun katanya, perkhidmatan itu bergantung kepada keadaan cuaca dan pasang surut air sungai.

“Kami menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk menyediakan perkhidmatan percuma ini kepada rakyat dan dicadangkan akan disambut pada Mei tahun hadapan ketika Melaka diishytiharkan cuti umum sempena Hari Perishytiharan Kemerdekaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4205
Kongsi :
Previous post Muar antara empat kawasan catat cuaca panas tahap kuning
Next post Warga JKR Melaka beraya sakan
Ubah saiz-+=