TMM2024: Panda merah tarikan terbaharu Zoo Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 9 November – Zoo Melaka bakal membawa kelainan dengan membawa masuk pelbagai haiwan baharu sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, pihaknya merancang untuk membawa masuk haiwan-haiwan yang belum pernah ada di Zoo Melaka sebelum ini.

Katanya, pihaknya juga sedang merancang beberapa kolaborasi bersama Zoo dan taman haiwan di dalam dan luar negara bagi inisiatif pertukaran haiwan.

“Sempena TMM2024, pelbagai perancangan akan dilaksanakan antaranya membawa masuk lebih banyak haiwan yang tiada di Zoo Melaka seperti komodo, panda merah dan pelbagai lagi.

“Kita sedang jalin kerjasama dengan beberapa pihak antaranya Zoo Indonesia, Zoo Singapura, Bukit Tambun, Langkawi dan beberapa lagi yang mana kesemua ini masih dalam peringkat pelaksanaan dan perancangan namun kesemuanya kita cuba untuk lakukan sebelum TMM2024 nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Sapiah turut memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam usaha membawa masuk beberapa haiwan-haiwan liar baharu ke Zoo Melaka.

Tambahnya, sempena TMM2024, pihaknya turut menjalankan proses baik pulih di setiap kandang haiwan yang terdapat kerosakan.

“Di Zoo Melaka ketika ini, kita juga turut menjalankan proses baik pulih, selain membina kandang dan tempat-tempat haiwan yang baharu.

“Kita harapkan dengan segala persiapan yang dilakukan ini dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Zoo Melaka pada tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1968
Kongsi :
Previous post Melaka perkukuh posisi di peta pelancongan dunia
Next post Gagal lunas cukai taksiran, 47 rumah disita
Ubah saiz-+=