TMM2024: Naik taraf tandas awam ke tiga bintang
TABOH NANING 1 Disember – Imej tandas awam seluruh negeri ini turut diberikan perhatian dan dinaik taraf kepada tiga bintang bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkifli Mohd Zin berkata, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan oleh semua empat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Melaka.
Katanya, sebagai contoh Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah melaksanakan kerja menaik taraf tandas di Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Melekek.
“Kemudahan itu dinaik taraf dari dua ke tiga bintang, dengan wajah baharu dan kemudahan lebih bagus pastinya akan memberikan keselesaan kepada orang ramai.
“Fokus inisitif ini adalah semua tandas awam di lokasi yang menjadi pengunjung,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zulkifli berkata, PBT juga melaksanakan kerja mengindahkan laluan masuk utama ke negeri ini membabitkan aspek landskap dan pencahayaan bagi memberikan gambaran Melaka sebagai sebuah negeri pelancongan yang indah serta bersih.
“Semua kerja naik taraf itu dilaksanakan PBT mengikut kawasan pentadbiran masing-masing, hal ini kerana kita mahu menyambut tetamu (pelancong) ke rumah (negeri) kita, jadi kita mahu terlihat indah dan baik-baik sahaja.
“Mereka (pelancong) pula pasti berasa nyaman dan selesa seterusnya akan berkunjung ke negeri ini lebih kerap,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.