TMM2024: Melaka Sentral sedia sambut pelancong
PENGKALAN BATU 13 Julai – Pihak pengurusan Terminal Bas Melaka Sentral, sedang melakukan persiapan rapi bagi menyambut ketibaan jutaan pelancong melalui jalan darat, sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, berbaki lima bulan ini, beberapa penambahbaikan bakal dilakukan bagi memberi keselesaan kepada pelancong.
“Melaka Sentral ini merupakan pintu masuk pertama pelancong dari Selatan Thailand dan Singapura, selain pelancong antarabangsa yang datang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Oleh sebab itu, perlu ada penambahbaikan daripada segi infrastruktur menjelang TMM2024 dan beberapa perkara serta kerosakan telah dikenal pasti untuk kita perbaiki.
“Kita difahamkan, seramai 18 juta pelancong disasarkan akan datang ke Melaka tahun depan, jadi perlu untuk kita memastikan pandangan pertama mereka ke negeri ini adalah baik.
“Justeru, segala penambahbaikan itu diharap dapat diselesaikan sebelum tibanya tahun baru 2024,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Terminal Bas Melaka Sentral, di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalannya, Zahari Abd Kalil dan Pengurus Besar Panorama Melaka Rohazam Abu Bakar.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.