Sorting by

×

TMM2024: Melaka sasar 50,000 pelancong dari jalan laut

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KOTA LAKSAMANA 5 Januari – Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 50,000 pelancong luar negara yang akan berkunjung ke Melaka menerusi jalan laut bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jumlah itu adalah membabitkan pelancong yang datang menerusi kapal persiaran yang berlabuh di Melaka.

Menurut beliau, sasaran tersebut disifatkan relevan memandangkan berdasarkan data pada tahun lalu, lebih 64,000 pelancong telah direkodkan melalui pintu masuk jalan laut di negeri ini.

“Secara keseluruhan pengunjung yang memasuki negeri ini menerusi ICQS pada tahun lalu adalah seramai 64,246 orang.

“Kita akan pergiat lagi kemasukan pada tahun ini untuk melebihi sasaran seramai 50,000 pengunjung ke negeri ini melalui jalan laut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyambut ketibaan seramai 560 pelancong luar negara yang menaiki Kapal Persiaran Seabourn Encore yang tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), di sini, hari ini.

Menurut Abdul Razak, sepanjang tahun lalu seramai 52,555 pelancong asing direkodkan memasuki negeri ini menerusi laluan air, sekali gus menunjukkan bahawa Melaka menjadi antara destinasi pelancongan pilihan di negara ini.

“Kebanyakan pengunjung yang masuk ke negeri ini menerusi pintu masuk jalan laut adalah pengunjung feri dari Dumai dan Bengkalis, selain pelancong yang menaiki kapal persiaran mewah.

“Justeru, kita mengharapkan lebih ramai pengunjung akan masuk ke Melaka pada tahun ini menerusi jalan laut bersempena TMM2024,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1231
Kongsi :
Previous post TMM2024: 560 pelancong luar negara tiba di Melaka
Next post Suri rumah didakwa campak anak kucing dari tingkat 1
Ubah saiz-+=