Sorting by

×

TMM2024: MELAKA MAMPU CAPAI SASARAN 15 JUTA PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KOTA LAKSAMANA 11 November – Kerancakkan sektor pelancongan Melaka pada penghujung tahun berupaya merealisasikan sasaran 15 juta pelancong dan pengunjung ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, setakat Januari hingga September tahun ini, Melaka telah berjaya menggamit seramai 11.25 juta pelancong, meningkat sebanyak 86.56 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Ab Rauf berkata, jumlah itu dijangka terus menunjukkan peningkatan positif apabila negeri ini mula menerima pelancong dari jalan laut menerusi pakej pelayaran kapal persiar mewah selama 2 hari 1 malam dari Singapura-Melaka-Singapura pada Isnin setiap minggu bermula hari ini.

“Sudah pasti pelayaran Genting Dream Cruise ini memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan Melaka dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya 15 juta pelancong hingga hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Ketibaan Kapal Persiaran Genting Dream Cruise di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Presiden Resort World Cruises Micheal Goh serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, selepas berakhirnya TMM2024, sektor pelancongan Melaka tidak akan sunyi, sebaliknya terus meriah memandangkan bumi bersejarah ini dipilih mewakili Malaysia sebagai tuan rumah World Tourism Day 2025 (WTD 2025).

Jelas beliau, detik bersejarah itu akan membawa kehadiran seramai 155 menteri pelancongan seluruh dunia berkampung dan bermesyuarat di Melaka.

“Ini sekali gus akan menjadikan Melaka sebuah destinasi menarik yang akan menjadi tumpuan dunia pada tahun depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

200
Kongsi :
Previous post PELANCONGAN JALAN LAUT MELAKA MERIAH SETIAP ISNIN
Next post OTAI DAM AJI MASIH BERBISA
Ubah saiz-+=