TMM2024: Kekalkan momentum promosi
KUALA LUMPUR 16 Julai – Momentum promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi 14 Julai lalu, akan dikekalkan dengan penganjuran pelbagai acara setiap bulan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, acara berkenaan dianggap sebagai ‘pemanas badan’ dan akan berterusan hingga 31 Disember tahun ini sebelum TMM2024 bermula secara rasmi.
Katanya, antara yang dilaksanakan adalah Festival TMM2024 selama tiga hari di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, di sini, berakhir malam ini.
Katanya, sepanjang tiga hari penganjurannya Festival TMM2024 dikunjungi 15,000 pelawat yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai perkhidmatan, produk dan pakej pelancongan yang ditawarkan di Negeri Melaka.
“Selama tiga hari festival ini berlangsung dengan penuh kemeriahan. Pelbagai aktiviti disediakan termasuk persembahan kebudayaan yang kita bawa khas dari Negeri Melaka.
“Berdasarkan sambutan diterima, insya-Allah sasaran untuk menarik sehingga 18 juta pelancong sepanjang TMM2024 nanti mampu dicapai.
“Kerajaan Negeri menerusi agensi dan jabatan serius mahu menjayakan TMM2024 dengan merancang pelbagai aktiviti menarik seperti festival layang-layang gergasi antarabangsa, pertandingan memancing serta ‘hot air balloon (belon udara panas). Paling menarik adalah cabutan bertuah menawarkan empat kereta dan hadiah-hadiah lain,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui di tapak penganjuran Festival TMM2024, semalam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri juga akan memanfaatkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk mempromosikan TMM2024 dengan pengisian pelbagai program menarik yang dilihat mampu menarik lebih ramai pelawat luar berkunjung ke Negeri Melaka.
Mengulas lanjut mengenai cadangan untuk menambah peruntukan bagi menjayakan TMM seperti disarankan Timbalan Perdana Menteri, Abdul Razak berkata, permohonan sudah dibuat kepada Kementerian Pelancongan Seni dan Kebudayaan (Motac).
“Pelaksanaan TMM2024 amat penting kerana selepas itu akan berlangsung pula Tahun Melawat Malaysia 2025. Jadi segala kemudahan
yang ada dan disediakan sepanjang TMM2025 akan melancarkan lagi Tahun Melawat Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.