TMM2024: Kastam Melaka pergiat usaha banteras penyeludupan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 15 Februari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Melaka akan melipatgandakan usaha bagi membanteras gejala penyeludupan yang berlaku di negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengarah Kastam Negeri, Nadzri Che Ani berkata, sebagai sebuah negeri pelancongan, aspek penguatkuasaan perlu diberi perhatian sewajarnya dalam memastikan negeri ini selamat terutama dalam aspek penyeludupan.

Beliau berkata, pihaknya turut mengharapkan bantuan orang awam untuk menyalurkan segala maklumat berkaitan bagi membasmi sebarang aktiviti penyeludupan di negeri ini.

“Sempena TMM2024, kita akan mempergiatkan usaha untuk mengelakkan gejala penyeludupan barangan termasuk kenderaan berleluasa.

“Kita harap orang awam akan lebih berhati-hati menjaga kenderaan hak milik mereka. Pihak Kastam Melaka juga akan bekerja keras bagi membanteras aktiviti seludup ini, apatah lagi pada musim cuti sekolah dan perayaan.

“Walau bagaimanapun, saya yakin Melaka masih menjadi negeri yang selamat untuk dikunjungi kerana kita akan memastikan pemantauan berterusan dilakukan bagi membanteras jenayah seperti ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kejayaan Menumpaskan Kegiatan Penyeludupan Berjumlah RM5.84 juta di Wisma Kastam, di sini, semalam.

Menerusi enam serbuan berasingan di Melaka, Selangor dan Johor baru-baru ini, JKDM Negeri Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan bernilai RM5.84 juta membabitkan kereta mewah, minuman keras dan rokok.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

523
Kongsi :
Previous post Cuti umum 20 Februari buka pintu rezeki untuk peniaga
Next post Magis gesekan biola Martin Looi
Ubah saiz-+=