TMM2024: Jangan ambil kesempatan naikkan harga
AYER KEROH 23 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan memantau semua festival jualan makanan yang berlangsung di Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, KPDN negeri akan bertindak tegas sekiranya mendapati terdapat peniaga yang menjual harga makanan terlalu mahal.
Selain pemantauan berkala, beliau berkata, KPDN Melaka juga akan bertindak jika menerima aduan daripada pengguna.
“Terdapat beberapa festival yang dijalankan di Daerah Melaka Tengah sebelum ini termasuk yang sedang berlangsung telah dipantau oleh KPDN negeri.
“KPDN akan ambil tindakan tegas kepada peniaga jika didapati tidak pamer tanda harga atau menjual produk makanan mereka dengan harga terlalu tinggi.
“Bersempena TMM2024, sudah pasti ramai yang akan berkunjung ke negeri ini, jadi kita tidak mahu peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Penguatkuasaan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023, di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan Pengarah KPDN negeri Norena Jaafar.
Mengulas lanjut, Allex berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga, namun anggota penguatkuasa akan terus memantau dari semasa ke semasa.
Jelasnya, pengguna boleh menjadi mata dan telinga KPDN dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan isu kepenggunaan.
“Untuk sebarang pertanyaan lanjut kita harap pengguna dapat salurkan aduan di talian 06- 2345869 yang beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam atau hubungi Whatsapp ke 019-2794317 atau 019-8488000,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.