Sorting by

×

TMM2024 inisiatif Melaka kekal unggul sebagai destinasi pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

SERI NEGERI 5 Mac – Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam merakamkan ucapan tahniah atas inisiatif Kerajaan Negeri memastikan Melaka kekal sebagai destinasi unggul pelancongan.

Tun Dr. Mohd Ali berkata usaha itu dapat dilihat menerusi penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) yang dilancarkan dengan penuh gilang-gemilang pada 31 Disember lalu.

Antara lain, Tun Dr. Mohd Ali turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas Sambutan Ulang Tahun Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang diadakan pada 20 Februari lalu.

“Pada 20 Februari lalu dengan tawaran kemasukan percuma ke lokasi pelancongan negeri, inisiatif itu mendapat sambutan hangati pengunjung dalam dan luar negeri.

“Turut tidak dilupakan dengan kemeriahan sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Melaka pada 22 Februari lalu.

“Saya amat berbesar hati atas inisiatif TMM2024 dan tahniah kerana sempena TMM2024 itu juga Melaka telah dipilih sebagai tuan rumah untuk pelbagai acara besar pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas Tahun 2024 di Dewan Undangan Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Dr. Mohd Ali turut menyatakan harapan agar Kerajaan Negeri turut memastikan semua kemudahan, infrastruktur dan prasarana pada tahap terbaik.

Jelasnya, kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk jabatan dan agensi Kerajaan, swasta termasuk seluruh rakyat amat diperlukan bagi memastikan kejayaan TMM2024.

“Saya berharap semua kemudahan infrastruktur dan prasarana terutama di kawasan-kawasan daya tarikan pelancong khususnya sekitar Banda Hilir dan sepanjang Sungai Melaka mestilah dalam keadaan lengkap.

“Manakala aspek kebersihan, keindahan dan keceriaan sentiasa pada tahap terbaik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post Universiti perlu konsisten laksana kajian, penyelidikan TVET
Next post Realisasi Melaka Negeri Mesra Pelabur, Invest Melaka perlu proaktif
Ubah saiz-+=