Sorting by

×

TMM2024: Enam negara sertai Pantun Nusantara

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDA HILIR 13 Disember – Melaka bakal menganjurkan Pertandingan Pantun Nusantara pada bulan Mei tahun hadapan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata pertandingan terbabit bakal melibatkan penyertaan dari enam buah negara dari rumpun nusantara yang sama termasuk dari seluruh negeri di Malaysia.

Katanya, antara negara yang bakal terlibat adalah Singapura, Indonesia,  Thailand, Filipina dan Kemboja.

“Sempena TMM2024, kita akan anjurkan Pertandingan Pantun Nusantara dan menjemput negeri-negeri yang mengamalkan seni budaya Melayu.

“Seni budaya Melayu ini bukan di Melaka sahaja, ia menjangkau ke seluruh tanah air dan seluruh nusantara.

“Kita akan jemput menerusi Persatuan Sejarah Malaysia. Mereka akan menjemput peserta negara luar ke pertandingan ini yang direncanakan pada bulan Mei tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Makan Malam Bersama Warga Pendidik Negeri Melaka di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Ghazali Ahmad  serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata pantun-pantun yang dihasilkan melalui pertandingan tersebut akan disimpan dan dijadikan khazanah negeri.

“Jadi kita akan tengok warisan-warisan pantun nusantara ini bakal menjadi tonggak dan nilai yang dibawa oleh Melaka.

“Pantun-pantun yang dihasilkan itu nanti akan disimpan sebagai khazanah Melaka untuk generasi akan datang, ia termasuk dengan pantun yang dihasilkan oleh golongan Baba dan Nyonya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1793
Kongsi :
Previous post Melaka hadiahkan pantun terbaik ke Wilayah Guanxi
Next post TMM2024 peluang memperkasa ekonomi anak tempatan
Ubah saiz-+=