TMJ tawar Harimau Malaya guna Stadium Sultan Ibrahim
KUALA LUMPUR, 6 Jan – Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor sebagai venue alternatif untuk kegunaan skuad Harimau Malaya sementara menunggu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) siap diselenggara.
Tunku Ismail menzahirkan tawaran itu menerusi laman sosial rasminya di Facebook, sehari selepas meninjau sesi latihan skuad itu di padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam dengan diiringi Presiden badan induk itu Datuk Hamidin Mohd Amin.
“Setelah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkenaan penyelenggaraan padang yang akan bermula Mac ini, saya berjumpa dengan Presiden FAM untuk berkongsi update dan menawarkan Stadium Sultan Ibrahim untuk digunakan Harimau Malaya sementara menunggu padang SNBJ siap,” titahnya.
SNJB selaku gelanggang keramat skuad Harimau Malaya yang dipenuhi jadual padat pelbagai acara termasuk bola sepak akan ditutup sepenuhnya pada Mac ini bagi memberi laluan kepada proses penanaman rumput baharu jenis ‘Zeon Zoysia’.
Penanaman rumput itu bagi menggantikan jenis ‘Cow Grass’ sedia ada di SNBJ, disifatkan lebih sesuai dengan keadaan cuaca serta iklim di negara ini selain dianggarkan mencecah hingga RM1.4 juta dan ditaja sendiri oleh Tunku Ismail.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.