Sorting by

×

Tipu pelaburan ‘Like Share’, pengarah syarikat dipenjara setahun

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LUMPUR 12 Mac. – Seorang pengarah syarikat dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menipu dan memperdaya seorang wanita untuk mempercayai pelaburan ‘Like Share’ itu wujud sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM9,888, tahun lepas.

Majistret Tawfiq Affandy Chin memerintahkan Tan Chee Keong, 44, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 11 Mac (semalam).

Mengikut pertuduhan, Tan didakwa menipu seorang wanita berusia 52 tahun dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai pelaburan ‘Like Share’ itu wujud, sehingga mendorong wanita tersebut untuk memasukkan wang berjumlah RM9,888 ke dalam akaun syarikat Revorits It Solution Sdn Bhd yang didaftarkan atas nama tertuduh, yang mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdaya.

Tan didakwa melakukan perbuatan itu di Lucky Garden Bangsar, di sini, antara 10 dan 13 November 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, Tan mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Wong Chai Sia dan Tawfiq bagi tiga lagi pertuduhan melakukan kesalahan sama terhadap tiga individu lain yang mengakibatkan kerugian berjumlah RM29,512 dan ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di sekitar Lembah Klang, di sini, antara 12 Oktober dan 19 November lepas mengikut seksyen sama.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 13 serta 20 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Nurilya Ellyna Nor Azmal, TPR Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar dan TPR Najihah Farhana Che Awang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post Bumbung 9 rumah di Kampung Pulai diterbangkan puting beliung
Next post Caj warisan pengunjung kekal RM2
Ubah saiz-+=