Sorting by

×

Tingkatkan pengeluaran udang putih – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

MERLIMAU 19 Oktober – Pengeluaran udang putih Melaka di Zon Industri Akuakultur (ZIA), Sempang akan ditingkatkan lagi menerusi pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri bersama agensi yang berkaitan.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, setakat ini pengeluaran udang putih diusahakan oleh Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) adalah sekitar lima ke enam tan setiap bulan.

Katanya, bagi menjayakan usaha itu pihaknya memohon peruntukan berjumlah RM2 juta daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menambah jumlah kolam ternakan udang sedia ada.

“Setakat ini ada 10 kolam ternakan dan jika mendapat kelulusan dana berkenaan akan digunakan untuk membina tambahan kolam di tapak seluas 1.62 hektar terletak berhampiran. Syarat untuk membina kolam udang mestilah berdekatan dengan pantai kerana ternakan ini memerlukan air masin.

“Pengeluaran setakat ini amat memberansangkan, bermula Januari hingga September lalu sebanyak satu juta hasil udang telah dituai,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Kolam Ternakan Udang milik PBM di ZIA Sempang di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PBM, Tee Mei Ghee, Pengarah Jabatan Penerangan (JaPeN) Melaka, Shahrom Ravin Daram Abdullah dan Pengarah Urusan Atlantys Aqualife Sdn. Bhd., Mohd Silahuddin Jamaluddin.

Tambahnya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) juga telah memperuntukkan sejumlah RM100,000 bagi penambahbaikan kolam ternakan udang tersebut.

“Tidak lupa juga Jabatan Pertanian turut menyalurkan peruntukan pada tahun lalu sebanyak RM125,000 bagi membantu penghasilan ternakan udang ini. PBM sudah aktif dalam industri akuakultur ini sejak 14 tahun lalu dan terkini mereka menjalankan penternakan udang putih,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1055
Kongsi :
Previous post Hidupkan semula Minggu Sukan Melaka
Next post Udang kayangan, harga rahmah – Exco
Ubah saiz-+=