Tingkat tenaga mahir Melaka dalam bidang elektrik
AYER KEROH 27 Julai – Kejayaan 24 anak jati Melaka menamatkan program Penjaga Jentera Elektrik Kategori AO dan BO boleh dianggap sebagai permulaan dalam melahirkan lebih ramai tenaga kerja profesional tempatan dari negeri ini.
Program tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu membuktikan anak Melaka berkemampuan dan sudah bersedia untuk mengisi kekosongan jawatan profesional terutama dalam sektor perindustian.
Daripada sudut pandang lebih jauh, program seumpama itu mampu melahirkan dan memberi peluang kepada lebih ramai anak tempatan untuk terbabit sama serta menyumbang kepakaran dalam sektor teknologi, selaras perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai pusat perindustrian global.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, permintaan dan kebolehpasaran bagi sektor membabitkan tenaga ketika ini amat tinggi.
Katanya, anak tempatan tidak boleh leka sebaliknya terus meneroka bidang profesional berkaitan teknologi, lebih-lebih lagi Melaka terkenal sebagai negeri mesra perniagaan dan pelaburan.
Ab Rauf berkata, keperluan tenaga amat penting bagi menampung kemasukan pelabur baharu termasuk menyokong pembangunkan koridor ekonomi baharu Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).
“Melaka sudah tentu tidak mahu ketinggalan kerana ia membantu meningkatkan kompetensi warga Melaka bagi menampung keperluan sektor industri yang ketika ini sedang rancak berkembang.
“Sepanjang penggal berkhidmat, saya akan berusaha membawa masuk lebih banyak pelabur ke Negeri Melaka, terutamanya dengan pewartaan 1,000 ekar tanah untuk mewujudkan Taman Industri Jerman, selain pembangunan M-WEZ yang bakal menjadi sebuah bandaraya baharu.
“Sudah pasti apabila lebih banyak pelabur, keperluan penjaga jentera elektrik ini juga amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Program Penjaga Jentera Elektrik Kategori AO dan BO Untuk Warga Melaka Dengan Penajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Auditorium Menara TNB Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Pegawai Regulatory dan Stakeholder Management TNB Datuk Ts. Shamsul Ahmad; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) Datuk Mustafa Musa dan Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solution Sdn. Bhd. (ILSAS) Siti Sarah Johana Mohd Said.
Mengulas lanjut, Ab Rauf turut menzahirkan harapan agar kerjasama Kerajaan Negeri Melaka bersama TNB akan terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program latihan semula (reskilling) demi mempertingkat kecekapan tenaga kerja di pasaran.
“Oleh itu, saya berharap TNB dapat menaja lebih ramai anak Melaka menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti ini kerana saya percaya ia juga dapat membantu syarikat itu terus berkembang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.