TINGKAT PEMBANGUNAN USAHAWAN MENERUSI BAJET 2025
SERI NEGERI 3 Januari – Pembangunan usahawan di Melaka terus diperkasa apabila peruntukan berjumlah RM600,000 disalurkan menerusi portfolio pembangunan usahawan, koperasi dan hal ehwal pengguna pada Bajet 2025.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin berkata, menerusi Bajet 2025 empat inisiatif difokuskan Kerajaan Negeri iaitu, Pemerkasaan Usahawan, Pemerkasaan Koperasi, Dana Usahawan Syarikat Mula Niaga serta Pengurusan Hal Ehwal Pengguna.
“Menerusi Pemerkasaan Usahawan, Kerajaan Negeri meneruskan peruntukan sebanyak RM300,000 di bawah Program Pembangunan Usahawan, ia sebagai galakan berniaga serta menyemarakkan budaya keusahawanan.
“Setakat ini, seramai 67 orang usahawan telah dibantu menerusi pembelian peralatan perniagaan selain Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Anugerah Usahawan bagi mengiktiraf penglibatan usahawan dalam pembangunan ekonomi Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata, menerusi Pemerkasaan Koperasi, Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan kepada RM300,000 khusus bagi tujuan pemerkasaan koperasi kluster mikro.
“Penambahan peruntukan ini adalah kesinambungan kepada pemerkasaan koperasi kariah masjid. Sementara itu bagi Dana Usahawan Syarikat Mula Niaga, saya amat berharap jabatan dan agensi yang menyelaras pembangunan usahawan seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta Perbadanan Melaka (MCORP) dapat membantu usahawan mendapatkan dana ditawarkan,” katanya.
Jelasnya, bagi Pengurusan Hal Ehwal Pengguna pula yang merupakan inisiatif terakhir, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka akan meneruskan Program Jualan Rahmah.
Jelasnya sepanjang 2025 program itu akan dianjurkan dengan kekerapan dua kali sebulan atau 672 kali setahun di semua Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Selain Jualan Rahmah untuk kembali ke sekolah, kita juga akan menganjurkan Jualan Rahmah setiap kali tiba musim sambutan perayaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.