Sorting by

×

Tingkat kutipan cukai untuk keselesaan rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 8 Disember – Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini disaran untuk memperhebatkan lagi usaha bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Melaka menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, peningkatan jumlah kutipan membolehkan PBT menyediakan perkhidmatan dan prasarana lebih berkualiti serta menepati kehendak semasa yang memberikan keselesaan kepada rakyat.

Katanya, antara usaha sudah dilaksanakan semua empat PBT di negeri ini untuk menarik lebih ramai rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai adalah dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bertuah.

“Lebih tinggi kutipan hasil cukai bermakna hadiah cabutan bertuah lebih besar boleh ditawarkan oleh PBT. Dalam konteks ini ganjaran yang akan dipulangkan kepada pembayar cukai juga lebih lumayan

“Saya yakin tahun hadapan kutipan cukai taksiran harta ini boleh ditingkatkan lagi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif,” katanya pada sidang media selepas Majlis Cabutan Bertuah Cukai Taksiran Harta di Graha Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, (MBMB) di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Ketua Ahli Majlis MBMB, Abd Razak Abu.

Selain MBMB tiga lagi PBT di Negeri Melaka adalah Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Zulkiflee berkata, hasil kutipan cukai turut digunakan untuk melaksanakan perkhidmatan kutipan sampah, penyelenggaraan landskap, pembersihan longkang, penyediaan prasarana, lampu awam dan pencahayaan serta pelbagai lagi infrastruktur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1042
Kongsi :
Previous post Potensi ekosistem industri EV, NEV Melaka-Guigang
Next post Konflik keluarga, alasan tak bayar cukai
Ubah saiz-+=