Tingkat jumlah perjawatan awam Melaka
AYER KEROH 9 Februari – Bagi memastikan dasar dirangka tidak terbantut dan dilaksanakan dengan lebih komprehensif, Kerajaan Negeri memohon Kerajaan Persekutuan meluluskan jumlah pengisian perjawatan penjawat awam di Melaka ke tahap siling iaitu sebanyak 92 peratus.
Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keseluruhan penjawat awam di Negeri Melaka ketika ini adalah berjumlah 36,300 orang.
Ketua Menteri berkata, jumlah itu merangkumi lantikan tetap dan kontrak daripada pelbagai skim perkhidmatan beruniform, jabatan, agensi negeri serta persekutuan.
“Saya khuatir, sekiranya jumlah pengisian sebanyak 83.9 peratus ketika ini terus menguncup memandangkan penjawat awam bakal bersara wajib sehingga hujung tahun 2024 adalah seramai 74 orang.
“Pengurangan jumlah penjawat awam ini dikhuatiri akan menjejaskan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khusus di Negeri Melaka,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.
Yang turut hadir, Barisan Timbalan Menteri, Barisan Exco Kerajaan Negeri; Barisan Ketua Setiausaha Kementerian, Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun); Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara.
Jelas Ketua Menteri, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dibawah Perkara 139(2), Melaka dan Pulau Pinang antara negeri yang tidak boleh menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri.
“Oleh itu, Pihak Berkuasa Melantik(PBM) bagi semua penjawat awam berkhidmat di Jabatan Negeri sama ada lantikan tetap atauContractofService (COS) adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.